Sudut Ilmu Pancing
Petua: Rahsia bawa guni basah
BUNYINYA agak melucukan apabila masih ramai kalangan tekong atau awak-awak membawa guni atau kain buruk tebal dan basah apabila turun ke laut. Walaupun ia tidak dianggap barang penting yang mesti dibawa sebelum turun memancing ke laut, namun petua yang diajar Pak Satim, seorang nelayan berusia 87 tahun dari Bagan Datoh, Perak ada kebenarannya.
Guni atau kain buruk tebal yang dibasahi air tawar itu amat mujarab bagi membunuh ikan yang dinaikkan ke dalam bot. Ikan laut apabila terkena basahan air tawar atau jirusan air berkenaan akan mati dalam tempoh singkat. Menyerkap guni basah ini lebih praktikal dan peri kemanusiaan daripada kita memukul kepala ikan itu atau menghempasnya hingga mati. Ia dianggap kejam oleh sesetengah pihak termasuk pencinta alam.
Jadi tidak hairan, setiap kali turun ke laut atau membawa pemancing menduga sekitar perairan Bagan Datoh, Pulau Sembilan dan Pulau Jarak, Pak Satim akan memikul guni basah itu walaupun kadangkala ada orang mentertawakan tindakannya. Pak Satim tidak menolak cara kekerasan begini terpaksa dilakukan jika berdepan dengan ikan malong yang liat nyawanya walau sudah beberapa jam didaratkan. Bagi pemancing yang menggunakan sampan, spesies ikan bersaudara dengan belut, berwarna kuning serta bergigi tajam itu dianggap merbahaya jika dibiarkan dalam sampan.
Sebagai langkah terbaik dan selamat, pemancing perlu memotong kepala malong dengan parang tajam supaya tidak menyakitkannya. Atau, jika itu dianggap masih kejam, anda perlulah melepaskannya jika tidak memakannya.
Satu lagi kebaikan guni basah itu ialah menyejukkan kaki pemancing dengan memijaknya. Peranan tapak kaki yang menyimpan urat saraf akan berfungsi dengan baik jika berada dalam keadaan lembap dan basah.
Facebook eratkan pembaca Joran
KUALA LUMPUR: Unit Joran memperkenalkan laman sembang sosial melalui blog - Facebook dan Twitter sebagai wadah baru menambahbaikan fungsinya sebagai medium memaparkan pelbagai aktiviti memancing serta pelopor pertandingan berkenaan.
Dengan melayari laman sesawang www.bharian.com.my dan menekan ikon Joran atau laman Joran Fan Page di Facebook, https://joranbh.blogspot.com/ atau www.twitter.com/unitjoran pembaca boleh mendapatkan maklumat aktiviti memancing secara percuma.
Medium baru ini nyata menarik minat remaja yang rata-rata pelayar laman sesawang sosial dan kesempatan itu dimanfaatkan Unit Joran untuk mendekati golongan berkenaan sebagai prospek pemancing masa akan datang selain mempromosi produk. Pelayar laman sesawang kini boleh berinteraksi terus dengan Unit Joran bagi mendapatkan maklumat lokasi pertandingan; program penganjur; artikel mengenai pengalaman memancing; soal jawab dengan pakar pancing; petua; foto berkisar penganjuran GP Joran sejak 1998 serta ruang diskusi berhubung industri itu.
Orang ramai boleh mengutarakan cadangan dalam penambahbaikan aisipan Joran mahupun acara GP Joran secara jujur atau tanpa dipengaruhi emosi.
Pemilihan Facebook dan Twitter kerana laman sembang sosial itu amat dekat dengan pembaca serta menjadi forum perhubungan sesama mereka. Dengan meramaikan kenalan `Add Friend' penyebaran maklumat Joran boleh berlaku sekelip mata, malah merentasi dunia tanpa sempadan.
Pada Joran Fan Page di Facebook dan joranbh.blogspot.com disediakan ruang kaji selidik bagi membolehkan orang membuat undian berhubung relevan Joran dikembalikan penerbitan asalnya pada setiap Jumaat dengan lapan muka surat, berbanding hanya empat muka surat setiap Sabtu.
Ketiga-tiga laman sembang sosial itu adalah sebagai wadah memuatkan maklumat tambahan yang tidak dapat disiarkan di sisipan Joran. Ia juga memudahkan orang ramai menyaksikan koleksi foto dan perkembangan 14 tahun penganjuran GP Joran yang bermula di Tanjung Piai, Johor pada 1997.
Turut dimuatkan ialah siri pertandingan memancing di peringkat antarabangsa yang pernah dianjurkan Berita Harian seperti Labuan International Fishing Challenge di Layang-Layang; Royal Pahang Billfish International Challenge di Kuala Rompin dan Langkawi Koh Adang Satun International Challenge.
Selain itu, pelayar laman sesawang boleh berkongsi pengalaman dengan menghantar gambar secara terus atau memuat turun foto yang dipaparkan di ketiga-tiga wadah berkenaan pada setiap hari, berbanding sisipan Joran yang hanya diterbitkan seminggu sekali. Mereka juga boleh mendapatkan foto dengan menghubungi Unit Foto Berita Harian.